5 Hakikat Dunia Pengaturcaraan

5 Realities in Programming World

Hallo semua! Dah lama saya tidak mengemaskini blog ni. Harini saya ingin sembang santai mengenai 5 hakikat dunia pengaturcaraan yang harus anda tahu; lebih-lebih lagi jika anda seorang yang baru mula melangkah ke dalam dunia baharu ini.

Apa yang saya tulis ini adalah pendapat peribadi (bukan professional yang sudah berjaya dalam bidang ini) dan juga menerusi pengalaman saya dalam fasa pertukaran bidang.

Jadi, apa tunggu lagi? Jom kita teruskan!

1. Asas adalah Segalanya

Untuk yang pertama, cuma 3 perkataan ini sahaja.

Asas adalah segalanya.

Mengapa asas adalah segalanya? Kerana ilmu itu mempunyai disiplin. Harus bermula dengan yang asas. Harus diperkuat yang asas.

Analogi mudah saja saya berikan dalam pembinaan sebuah rumah. Komponen yang menjadi asas kepada rumah tersebut seperti tanah, cerucuk, simen, lantai adalah yang menjadi kayu ukur kepada keselamatan rumah yang ingin dibina. Jika asas ini kukuh dan kuat, maka anda boleh teruskan kepada langkah seterusnya seperti membina dinding dan atap.

Namun, jika asas ini lemah disebabkan anda terburu-buru, suka melangkau langkah, tak menyabor orang Perak kata, rumah anda tidak akan berada dalam keadaan yang selamat dan kuat. Juga mempunyai kebarangkalian tinggi untuk runtuh.

Maka, dalam pengaturcaraan juga begitu. Jika anda ingin mempelajari Python, mulakan dari asas. Jika anda ingin mempelajari C++, mulakan dari asas.

Selalu saya pesan untuk diri saya,

Jangan malu atau takut untuk berundur seketika.

Undur seketika bukan bermakna kita kalah atau tewas, tetapi undur seketika supaya anda dapat mengukuhkan tapak binaan pengatahuan anda dalam pengaturcaraan.

Anda boleh pilih untuk mengikuti berbagai-bagai kursus percuma tersedia di alam maya seperti freecodecamp.com, ataupun mencari video tutorial di Youtube, ataupun membaca dokumentasi mudah di w3schools.com. Ada banyak inisiatif yang anda boleh lakukan bagi menambahbaik kefahaman dalam pengaturcaraan.

Yang tinggal hanyalah untuk anda memilih, dan berani untuk berhenti dan berundur seketika sebelum anda meneruskan perjalanan yang lebih mencabar.

2. Dunia yang Berkembang Pantas

Dunia pengaturcaraan adalah sebahagian daripada dunia teknologi. Seiring dengan teknologi, pengaturcaraan juga berkembang dengan kemaskini yang terbaru saban bulan atau tahun.

Text

Python telah berkembang daripada versi 0.9.0. Ini bermakna terdapat sangat banyak ciri baharu yang dilakukan yang membuatkan pengguna Python harus mempelajari ciri ini supaya tidak ketinggalan dan bergerak seiring dengan kemajuan yang dilakukan.

Pada tarikh saya menulis artikel ini, Python telah pun mencapai versi 3.10 iaitu versi yang paling baharu. Anda boleh bayangkan betapa banyak perubahan dalam usaha memajukan lagi bahasa ini.

Disebabkan itu, anda harus sedar dan bersedia untuk segala perubahan yang berlaku. Kerana sesetengah perubahan akan bersifat backward incompatibility yang bermakna, sesuatu ciri yang baharu itu tidak boleh diguna pakai pada versi yang lama.

Sebagai contoh untuk versi lama Python, print function tidak menggunakan kurungan ( ) kerana ia dianggap sebagai print statement. Hanya apabila bertukar versi, mereka menjadikan ia sebagai function.

Versi lama:

print "hello world"

Versi baharu:

print ("hello world")

Jadi jika pengguna versi lama ingin melaksanakan kod rakannya yang telah menggunakan versi baru; pasti akan menemui kegagalan.

Tuntasnya pengguna versi lama juga harus beralih kepada versi baharu lebih-lebih lagi jika projek melibatkan kerja kolaborasi bersama.

Kemajuan itu mengasyikkan. Tetapi untuk mencapai ia, kita harus membayar dengan sebuah perubahan.

3. Belajar Sendiri Sendiri

Selepas mempelajari asas pengaturcaraan, ketahulah ia tidak mencukupi untuk menjadi pengaturcara yang hebat. Anda harus melangkah berseorangan dan belajar lebih lagi.

Tiada siapa akan menolak belakang anda untuk memaksa anda untuk pergi lebih jauh. Tiada siapa yang akan menepuk bahu anda jika anda berjaya atau memeluk anda jika anda gagal.

Anda harus berjalan sendiri.

Text

Seperti hidup, dalam dunia pengaturcaraan, terdapat tingkatan kesukaran yang harus kita langkah tapak demi tapak untuk mencapai ke tahap yang seterusnya.

Jadi, bagaimana cara yang terbaik untuk mempertingkatkan skil sekaligus mempelajari sesuatu yang lebih sukar?

Jawapannya, membuat projek kod.

Mengapa saya berkata sedemikian? Kerana apabila kita membuat projek kod, tidak dapat tidak kita akan menghadapi pelbagai masalah yang tak terjangka seperti pepijat, konsep kod yang baharu, sistem yang berbeza dan sebagainya.

Daripada sinilah kita sebenarya akan bertanya dan bertanya. Kita mula menjelajah dan mencari jawapan. Kesukaran itu memang meresahkan tetapi jika kita melihat ia sebagai sebuah peluang untuk mempelajari sesuatu, ya kita akan pergi ke peringkat yang seterusnya.

Jadi, usaha untuk mencari contoh-contoh projek yang berada di internet. Jika tidak yakin, cari projek di Youtube atau laman sesawang artikel yang mengajar bagaimana untuk membuat sesebuah projek. Mulakan dengan meniru dan memerhati apa yang mereka lakukan. Kemudian, jika sudah biasa dan yakin, cuba cipta versi sendiri mengikut objektif projek yang anda mahukan.

Jika anda tersekat dengan ralat atau pepijat, cari komuniti pengaturcara seperti di stackoverflow.com dan bertanyalah pada yang pakar. Komuniti pengaturcara adalah sebuah komuniti yang sangat membantu jika anda buntu dalam mencari penyelesaian kod.

Di akhir projek ini nanti anda akan merasakan ada peningkatan dalam skil pengaturcaraan anda.

4. Teroka Pelbagai Bahasa

Apabila anda mula mempelajari sesuatu bahasa pengaturcaraan, misalnya Python, suatu sisi diri anda akan merasakan cukup hanya pada satu bahasa ini sahaja akan berkuasa untuk mencipta segalanya.

Tidak.

Belajar lebih daripada satu bahasa. Kerana bahasa pengaturcaraan berupaya menyokong antara satu sama lain.

Text

Sebagai contoh, dalam pembuatan laman sesawang, Python berada dalam posisi belakang sistem dimana tempat penentuan logik dan sebagainya. HTML pula adalah tetulang kepada laman sesawang manakala CSS adalah kosmetik yang mana mencantikkan laman sesawang ini. SQL pula medium perantara untuk berurusan dengan pangkalan data (database). Dan pelbagai lagi bahasa yang menyokong antara satu sama lain demi mencapai matlamat bagi mencipta sebuah laman sesawang.

Bergantung kepada matlamat anda mempelajari pengaturcaraan. Dan matlamat ini tidak mampu dicapai hanya dengan menggunakan satu bahasa pengaturcaraan sahaja.

Mempelajari pelbagai bahasa bukan sahaja membantu anda untuk mencapai objektif anda dalam sesebuah projek, malah memberi perspektif yang berbeza dan luas dalam menjelajah dan menerokai konsep pengaturcaraan yang mempunyai cara yang tersendiri.

5. Jalan ini Tak Mudah

Sepanjang pengalaman saya menukar arah daripada sarjana Fizik kepada bidang pengaturcara, saya akui saya adalah orang biasa yang merasakan jalan ini tidak mudah. Jalan ini penuh ranjau.

Lebih-lebih lagi jika kita ini belajar secara sendiri, bukan secara formal melalui universiti dan sebagainya.

Ada kalanya, kita akan diserang dengan impostor syndrome sebuah keadaan dimana kita meragui kemampuan diri sehingga kita merasakan ini bukan jalan kita lantas putus asa. Ini sangat menekan kekuatan mental kita sama ada kita harus meneruskan impian ini atau berhenti setengah jalan.

Text

Saya tidak ada nasihat yang bagus kerana saya juga masih berjuang melawan sindrom ini, tetapi apa yang saya lakukan adalah dengan menetapkan impian sebagai keutamaan dan destinasi perjalanan ini.

Apa pun teruskan kuat dan semangat dalam mencapai cita-cita dan matlamat hidup kita semua dengan objektif yang jelas.

Akhir kalam, terima kasih membaca tulisan ini. Semoga kita semua berjaya menggenggam bara sampai akhirnya ia lebur menjadi abu.

Sampai jumpa lagi di blog akan datang. Cio!