Kod di Khalayak: Malu Tanya Sesat Jalan

Photo by Toa Heftiba on Unsplash

Kod di Khalayak: Malu Tanya Sesat Jalan

Kod di khalayak atau code in public adalah salah satu teknik yang sangat membantu buat pengaturcara pemula, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pengaturcaraan. Cara ini membuatkan anda untuk terus belajar, namun jarang dipraktikkan oleh sebab tertentu. Barangkali mungkin rasa malu atau tidak yakin atau tidak berani untuk menerima komen atau kritikan daripada stranger. Dengan belajar secara terbuka, ia juga membawa maksud anda mampu untuk melakukan kesilapan secara terbuka dan "terbuka" menerima segala kritikan dan jawapan.

Setahun selepas penulis memulakan perjalanan dalam arena pengaturcaran dan cuba mengamalkan pendekatan ini, banyak yang penulis telah pelajari. Bukan sahaja dapat belajar perkara baharu, tetapi juga berkenalan dengan mereka yang lebih berpengalaman, mengorek ilmu pengetahuan mereka sekaligus meningkatkan mutu kod dan pengetahuan. Beberapa cara yang telah penulis lakukan sewaktu mengamalkan pendekatan kod di khalayak.

Komuniti

Untuk sesetengah manusia, mungkin bertanya adalah sesuatu yang berat, sesuatu yang memerlukan kekuatan. Tetapi dengan hanya bertanya, dengan sebuah soalan, ia menjadi pintu kepada sebuah perjalanan dan pengalaman baharu. Dengan wujudnya komuniti, anda tidak perlu lagi khuatir kerana disini anda akan jumpa dengan ramai pengaturcara untuk mendapatkan sokongan dan bantuan.

Penulis mempunyai beberapa tempat yang biasanya digunakan bagi menyelesaikan masalah kod atau debug.

Biasanya penulis akan mulakan dengan Stack Overflow. Disini tempat dimana berkumpulnya soalan-soalan daripada segenap pelusuk dunia. Masalah dalam pengaturcaraan biasanya dialami oleh pengaturcara lain. Masalah yang anda hadapi berkemungkinan besar telah dihadapi dan telah diselesaikan oleh orang lain. Namun, jika anda telah mencari sepuasnya di Internet, mahupun di Stack Overflow tetapi tidak menjumpai, maka anda boleh mula untuk bertanya disana.

Pastikan anda menulis konteks persoalan atau masalah yang telah berlaku dengan jelas. Jika ada, sediakan tangkap layar atau sebahagian baris daripada kod dan juga mesej ralat yang terhasil. Ini bagi memudahkan pengguna lain yang mempunyai jawapan untuk menjawab soalan yang ditanyakan.

Jika masalah tidak juga dapat diselesaikan, maka anda boleh cuba untuk bertanya dalam kumpulan komuniti dalam talian. Contohnya adalah komuniti di Telegram, Discord dan Slack. Kumpulan dalam talian juga adalah tempat dimana pakar, pengaturcara senior, junior, pemula berkumpul dan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan teknologi dan pengaturcaraan.

Sumber Terbuka

Dengan sumber terbuka, anda boleh memilih sama ada untuk menulis projek anda sendiri ataupun menyumbang kepada projek orang lain.

Menulis projek sendiri memberikan pengalaman untuk merasai pengalaman membuat sebuah aplikasi. Anda adalah laksamana dalam kapal anda. Anda yang menetapkan objektif projek, bahasa pengaturcaran, pengkalan data, tabung awan dan sebagainya.

Apabila ia dinamakan projek sumber terbuka, maka ia terbuka kepada sesiapa yang mahu menyumbang kepada projek ini. Maka daripada sini, budaya perbincangan, persoalan, cadangan penambahbaikan akan bercambah sekaligus mempercepatkan pembangunan projek menuju kepada objektif yang telah ditetapkan.

Jika tidak ingin menulis projek sendiri, menyumbang kepada projek sumber terbuka juga adalah salah satu cara untuk belajar daripada kesilapan. Anda boleh menyumbang apa jua jenis pertolongan kepada projek terbuka daripada sekecil-kecil membetulkan kesalahan ejaan dalam dokumentasi, sehingga sebesar-besar pemfaktoran (jika diterima haha!).

Apa yang lebih penting sebenarnya adalah bagaimana anda mampu mencipta masalah dan menawarkan solusi yang mana menjadi salah satu proses untuk terus belajar dan belajar.

Jika anda berminat untuk menyumbang kepada sumber terbuka, beberapa perkara yang anda harus ketahui iaitu:

  1. Git

  2. Github

Selepas anda mempelajari kedua perkara ini, anda boleh melayari laman sesawang Free-XP iaitu sebuah laman sesawang yang menyenaraikan senarai projek terbuka di Github. Anda boleh memilih mana-mana projek yang anda minati dan mulakan perjalanan kod di khalayak pertama anda!

Media Sosial

Penulis mendaikan anda pastinya mempunyai media sosial, samada Facebook, Instagram mahupun Twitter. Disini juga anda boleh mempraktikkan kod di khalayak dengan bertanyakan soalan ataupun menjawab pertanyaan orang lain.

Media sosial bukan sahaja tempat anda bersosial, malah bertemu dengan professional. Maka gunakan media sosial dengan sewajarnya supaya anda dapat mempelajari sesuatu dan memudahkan proses pembelajaran anda ke peringkat seterusnya.

Ada juga sesetengah pengaturcara yang menulis kod secara siaran langsung dengan menggukan aplikasi Twitch mahupun Tiktok. Orang ramai dapat melihat secara langsung proses penulisan kod dan (barangkali) dapat melatih anda untuk menghadapi tekanan semasa menulis kod sambil diperhatikan.

Kesimpulan

Tuntasnya, kod di khalayak mampu menjadi catalyst untuk anda terus belajar dengan lebih efektif dan pantas. Menyimpan masalah anda seorang diri adalah tidak digalakkan kerana akan membantutkan lengkung pembalajaran anda.

Sekian artikel kali ini, sampai jumpa!